Majlis Malam Simfoni Menara Gading Rakan Surau Al-Falah.


Pada 8 Januari 2010 (Jumaat), Surau Al-Falah telah mengadakan satu program iaitu “Malam Simfoni Menara Gading”. Program tersebut bermula pada jam 9.50 malam dan dihadiri oleh tetamu undangan iaitu Ustaz Rosli Bin Mahmud selaku Ketua Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris, saudara Ahmad Fuad iaitu Yang Di Pertua Jawatankuasa Kolej Aminuddin Baki dan jawatankuasa-jawatankuasa Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki. Majlis ini turut dihadiri oleh saudara Yusrizan Bin Mohamad iaitu Timbalan Presiden Rakan Surau, para exco Rakan Surau, jawatankuasa dan ahli-ahli Rakan Surau Al-Falah. Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis dengan mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli rakan surau serta tetamu undangan ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Rakan Surau bagi Semester 1, 09/10.

Agenda majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh saudara Aminuddin Mohamad. Pada jam 9.55 malam, saudara Yusrizan Bin Mohamad, iaitu Timbalan Presiden Rakan Surau dijemput untuk menyampaikan ucapan. Beliau menyatakan bahawa pada semester lepas, seramai 60 orang daripada 139 ahli rakan surau telah berjaya mendapat senarai dekan dengan memperoleh CGPA 3.5 dan ke atas.

Yang Di Pertua Kolej Aminuddin Baki, saudara Ahmad Fuad turut dijemput untuk menyampaikan ucapan. Beliau menyarankan ahli unit surau perlu melibatkan diri dengan aktiviti yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Mahasiswa Kolej dan tidak hanya terhad dengan majlis di surau sahaja. Beliau turut mengusulkan bahawa Jawatankuasa Mahasiswa Kolej akan menyediakan satu slot khusus untuk dikendalikan oleh unit surau sahaja sekiranya terdapat program yang melibatkan sekolah atau program anak angkat. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ahli rakan surau yang berjaya mendapat senarai dekan sekaligus memberi semangat kepada mereka yang kurang berjaya.

Acara kemuncak diteruskan dengan ucapan perasmian “Majlis Malam Simfoni Menara Gading” pada pukul 10.15 malam oleh Yang Berbahagia Ustaz Rosli Bin Mahmud, Ketua Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris. Seterusnya tepat jam 10.35 malam adalah majlis penyampaian sijil kepada ahli rakan surau yang berjaya memperoleh senarai dekan. Ustaz Rosli dijemput untuk menyampaikan sijil dan diiringi oleh Timbalan Presiden Rakan Surau, Saudara Yusrizan Bin Mohamad. Majlis diakhiri dengan menjemput tetamu undangan menjamu selera pada pukul 10.48 malam.

Pada jam 11.20 malam, Yang Di Pertua Kolej Aminuddin Baki, saudara Ahmad Fuad telah memperkenalkan Jawatankuasa-jawatankuasa Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki. Tujuannya adalah untuk merapatkan jurang antara ahli rakan surau dan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej. Di samping itu, ahli Rakan Surau boleh berhubung dengan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki sekiranya ingin mengadakan program-program pada masa akan datang. Yang Di Pertua Kolej Aminuddin Baki amat berharap agar tiada jurang antara ahli unit Rakan Surau dengan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej pada masa akan datang. Majlis diakhiri dengan bacaan Tasbih Kifarah dan Surah Al-Asr. Majlis bersurai pada jam 12.00 tengah malam.

0 Responses

Post a Comment

:: sila berikan pandangan anda..terima kasih :) ::

  • ++waktu++

    ++followers++

    ++music++

    ++visitor++